Friday, July 31, 2009

Perak diBUBARkan?

Perak buka pekung kerajaan BN
Amin Iskandar | Jun 10, 09 12:27pm
Krisis politik di Perak secara tidak langsung telah memberikan “pakej rangsangan ekonomi” kepada rakyat di negeri tersebut. Contohnya apabila sidang DUN Perak berlangsung 7 Mei lalu, berbondong- bondonglah para wartawan, penulis blog, penganalisis politik dan pelancong politik dari luar negeri itu turut serta.

Apabila Ipoh dipenuhi dengan orang-orang luar, maka rancaklah aktiviti ekonomi. Hotel-hotel berpenghuni, restoran-restoran lebih laris, termasuk kedai-kedai mamak mendapat pelanggan luar biasa banyaknya.

Ia secara tidak langsung dapat membantu rakyat Perak untuk terus bertahan walaupun aktiviti ekonomi di negeri tersebut lembab akibat ketidaktentuan politik sejak Februari lepas.

Menurut Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam, pergolakan politik di Perak "satu pendidikan politik yang terbaik" kepada rakyat.

Menurutnya, juga adik kepada seorang ahli politik veteran Umno, krisis di Perak menunjukkan dengan jelas kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku dalam institusi-institusi kehakiman, polis dan penjawat-penjawat awam.

Memang benar apa yang dikatakan oleh ahli parlimen PAS itu. Sebelumnya, memang begitu sukar untuk menerangkan kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku di negara ini.

Dengan berlakunya rampasan kuasa di Perak, rakyat dapat melihat sendiri bagaimana institusi-institusi kehakiman, polis dan penjawat-penjawat awam diperkudakan oleh Barisan Nasional untuk menghalalkan tindakan mereka merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat.

Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Mohd Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah. Menurut hakimnya Abdul Aziz Abdul Rahim, ADUN PAS itu adalah menteri besar Perak yang sah kerana undi tidak percaya tidak pernah diusulkan terhadap Nizar dalam persidangan DUN Perak.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakimannya.

Selepas penghakiman itu, Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry Abd Kadir, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

Kegembiraan Nizar dan barisan exco Pakatan Rakyat Perak tidak bertahan lama. Keesokan harinya Zambry, menteri besar BN, memfailkan rayuan mahkamah Putrajaya.

Rayuan Zambry itu didengar dan diputuskan pada hari yang sama. Mahkamah Rayuan bertindak dengan begitu pantas dan efisyen. Jika kes-kes lain turut diperlakukan sebegini rupa, maka mahkamah di Malaysia akan menjadi mahkamah yang paling efisyen di dunia!

Mahkamah Rayuan telah membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - yang membawa akibat Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah selama tidak sampai 24 jam!

Pada 22 Mei pula, Mahkamah Rayuan menerima permohonan Zambry untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan pelantikan Nizar sebagai menteri besar.

Keputusan ini akan pasti dirayu pula oleh Nizar di Mahkamah Persekutuan. Apakah ia akan memihak kepada Nizar atau Zambry?
Pertikaian di mahkamah antara dua menteri besar ini diperhatian dengan dekat oleh orang ramai - sekali gus mengheret para hakim kanan di depan mahkamah rakyat.

Hakim membuat keputusan, rakyat menentukan kesahihan keputusan mereka!

Akibat silih ganti pertukaran ini, pelbagai pihak mula mendesak lagi agar DUN Perak dibubarkan untuk menyelesaikan kemelut politik politik yang berlarutan selama beberapa bulan.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, krisis politik di Perak hanya dapat diselesaikan dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat apabila DUN dibubarkan.

“Jika Perak lumpuh, bukan hanya Perak yang akan lumpuh tetapi seluruh negara akan lumpuh.

"Jika istana Perak membuat keputusan salah (tidak membubarkan DUN), ia bukan sahaja akan menjejaskan institusi beraja di negeri itu tetapi keseluruhan institusi Raja-raja Melayu.

"Jika semua kes mahkamah telah diselesaikan sekalipun, ia tidak akan memuaskan hati rakyat. Jalan yang terbaik ialah krisis politik ini diselesaikan melalui pilihanraya di negeri tersebut," katanya ketika ditemuramah oleh penulis ini sewaktu pelancaran Pertandingan Menulis Esei Bertemakan "One Nation, One Malaysia" anjuran yayasannya My Future Foundation pada 13 Mei lalu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut mendesak agar hak rakyat Perak untuk memilih pemimpin mereka dikembalikan - bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya negeri.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya. Hak memilih kerajaan adalah hak asasi manusia," kata pengerusinya Abu Talib Osman.

Beliau merujuk Artikel 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang mengatakan bahawa rakyat haruslah menjadi asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan.

Monday, July 27, 2009

FRU Mansuhkan ISA

PULAU PINANG, 27 Julai: Ceramah Mansuhkan ISA yang dijadualkan diadakan di Padang Awam, Taman Guar Perahu, Penanti, baru-baru ini telah dicemari dengan kehadiran tiga trak berwarna merah siap dengan anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) bagi menghalang ceramah yang telah diatur.

Segala persiapan yang telah diatur oleh Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berjalan seperti yang direncanakan.

Namun begitu setelah sampai waktu untuk memulakan ceramah yang akan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng maka pihak polis telah memulakan operasi mereka dengan membariskan anggota FRU siap dengan belantan bagi menghalang ceramah diteruskan.

Suasana hiruk-pikuk apabila tindakan pihak FRU itu menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan penduduk tempatan dan orang ramai yang telah membanjiri padang tersebut untuk mendengar ceramah sepertimana yang dijadualkan.

Walaupun cuba dibincangkan oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Yusni Mat Piah bersama dengan barisan kepimpinan PAS dengan pihak polis, polis tetap tidak mebenarkan ceramah diadakan di situ.

Namun begitu ceramah dipindahkan ke kediaman salah seorang penyokong Pakatan Rakyat di kawasan perumahan yang sama tanpa kehadiran FRU.

Dalam ceramah beliau, Mohamad Sabu menegaskan bahawa tindakan pihak polis itu tidak mencerminkan sikap One Malaysia yang dilaung-laungkan oleh kepimpinan negara.

"Bentuk demokrasi bagaimana yang mereka amalkan sehingga menjadikan ceramah oleh Pakatan Rakyat dengan mudah dihalang dan disekat walaupun rakyat begitu ramai mahukan demokrasi diamalkan dengan cara telus.

"Ini melambangkan bahawa kepimpinan Barisan Nasional dalam negara ini tidak harus dibiarkan terus menguasai negara.

"Selagi mereka berkuasa maka akta zalim seperti ISA yang mereka amalkan selama ini akan disalahgunakan untuk memenuhi aspirasi politik parti mereka.

"Takut dengan kebangkitan rakyat maka Barisan Nasional akan terus menjadikan ISA sebagai senjata mereka untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dipersada politik negara," katanya

Saturday, July 18, 2009

Latest info from blog

http://www.blogger.com/home

Thursday, May 7, 2009

Mat Sabu, ditangkap bersolat hajat

Krisis Perak : BN angkuh, tidak hormat undang-undang - Presiden PAS

Thu | May 07, 09 | 4:29:13 pm MYT
IPOH,7 Mei (Hrkh)- PAS sangat kesal dengan kejadian kekerasan yang berlaku di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) dan dalam Dewan tempat persidangan para Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada hari ini

Demikian kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily melalui Setiausaha Politik, Dr Shamsuri.

"Pada kali ini, bukan sahaja para penyokong dan pimpinan parti dari Pakatan Rakyat yang ditangkap, tetapi beberapa ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat negeri Perak juga telah ditahan,"katanya.

Peristiwa yang berlaku ini adalah berpunca dari sikap angkuh para pimpinan BN yang tidak menghormati undang-undang,ujarnya.

BN juga ujar Presiden PAS bertindak dengan berselindung di sebalik lencana anggota keselamatan.

"PAS sekali-kali tidak akan menghormati kerajaan yang sememangnya tidak menunjukkan rasa hormat mereka kepada undang-undang dan perlembagaan negara," katanya.

Pagi tadi, beberapa pimpinan Pakatan Rakyat telah ditangkappolis semasa beradaberhampiran di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dun Perak.

Antara yang ditahan ialah, Ketua Pemuda PAS,Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S.Jayakumar dan beberapa Adun serta 30 orang awam./wann

Perak diserek, bubar DUN

Polis heret keluar Sivakumar satu jenayah!
Dr Wan Azizah Wan Ismail
Thu | May 07, 09 | 6:40:25 pm MYT
Kurang daripada dua bulan setelah menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia, Najib sudah menggadaikan slogan beliau sendiri, "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Kini amat jelas bahawa slogan itu hanya suatu gimik politik, dan beliau tidak menghormati rakyat langsung. Apa yang dilakukan oleh wakil-wakil BN pagi tadi merupakan satu konspirasi terpendam dan berbahaya yang dirancang oleh Najib untuk memusnahkan demokrasi di Negeri Perak.

Lagipun, penggunaan mahkamah dan polis untuk campur tangan dalam hal ehwal di bawah Dewan Undangan Negeri adalah jelas suatu percanggahan doktrin pemisahan kuasa yang diiktiraf oleh setiap kerajaan demokratik.

Malah, tindakan membawa masuk polis ke dalam dewan untuk mengheret keluar Speaker V Sivakumar adalah satu perbuatan jenayah.

Persidangan di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini adalah sangat memalukan dan merupakan titik hitam yang terbaru dalam politik Malaysia. Rakyat negeri Perak telah memilih wakil-wakil mereka dalam bulan Mac 2008, tetapi Umno-BN tidak mengikut peruntukan Perlembagaan untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat yang sah.

Rakyat negeri Perak tentu akan menuntut Najib untuk bertanggungjawab di atas peristiwa hitam dalam sejarah negeri itu.

* Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat

Saturday, November 8, 2008

Trauma wanita tiadanya hudud

KAJANG: Selepas 10 tahun menyimpan rahsia, seorang wanita akhirnya membuat laporan polis mendakwa dirogol lima abang kandungnya sejak berusia 13 hingga 18 tahun.

Sebelum membuat laporan polis, mangsa yang kini berusia 23 tahun mengalami tekanan perasaan, malah enggan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya sepanjang tempoh berkenaan.

Ini kerana dia tidak sanggup melihat semua abang kandungnya itu meringkuk dalam penjara.

Wanita malang itu juga menganggap dia terhutang budi dengan kebaikan semua abangnya yang sanggup menjaganya ketika berada di hospital akibat sakit jantung.

Bagaimanapun, sumber berkata, selepas tidak tertahan menanggung penderitaan yang sering menghantui dirinya, mangsa akhirnya nekad melaporkan kejadian sumbang mahram itu, baru-baru ini.

Katanya, mangsa difahamkan menjadikan seorang kakak angkat sebagai tempat dia meluahkan perasaan ditanggungnya.

Ibu mangsa yang dimaklumkan kejadian itu baru-baru ini terkejut dengan pengakuan berkenaan, tetapi langsung tidak mempercayai kata-katanya.

Namun, selepas mendengar keluhan anak perempuannya itu, si ibu terpaksa akur dan menemaninya membuat laporan di Balai Polis Kajang.

Mangsa kerap dijadikan pemuas nafsu lima abangnya setiap kali ibu bapa mereka pulang ke kampung di pantai timur.

"Ketika itulah mangsa mendakwa dia diperlakukan dengan kejam apabila semua abangnya mengambil kesempatan merogolnya.

"Mangsa kini masih dalam keadaan trauma setiap kali teringatkan kisah hitam itu," katanya, semalam.

Dalam laporannya kepada polis, wanita terbabit turut mengakui mempunyai sejarah hitam sebelum itu apabila dia mendakwa dirogol seawal usia sembilan tahun oleh bapa saudaranya.

Ketika kejadian, dia diheret menuruni tangga dari tingkat dua oleh bapa saudaranya itu.

Dia mendakwa kejadian itu berlaku tiga hari sebelum menjelang perkahwinan lelaki terbabit.

Sumber polis memberitahu, polis sudah menahan semua suspek yang berusia 25 hingga 28 tahun termasuk pasangan kembar bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

Lelaki yang juga bapa saudara mangsa juga akan ditahan tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada wanita terbabit yang mendakwa dia dirogol lima abang kandungnya sendiri.

"Semua suspek sudah ditahan untuk membantu siasatan," katanya yang enggan mengulas lebih lanjut.

Tomboi jual 2 wanita

MELAKA: Penderitaan dua wanita yang terpaksa melayan nafsu 11 lelaki sehari termasuk warga Afrika selepas dipaksa melacur sejak lebih sebulan lalu di negeri ini oleh seorang tomboi berakhir apabila mereka diselamatkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

Rahsia dua wanita masing-masing berusia 22 tahun itu yang mendakwa dilacurkan tomboi terbabit terbongkar selepas mereka ditahan Jaim kira-kira jam 10 pagi di sebuah bilik hotel di Jalan Tun Ali, dekat sini, atas kesalahan berkurung dengan seorang lelaki bukan muhrim.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani, berkata sepasukan anggota penguat kuasa Jaim ke hotel berkenaan untuk menjalankan serbuan selepas aduan menyatakan terdapat beberapa pasangan bukan muhrim berada dalam hotel itu.

Katanya, ketika serbuan ke atas bilik yang dikenal pasti, pihaknya menemui dua wanita dan seorang lelaki berusia 30-an.

"Apabila pemeriksaan mendapati mereka adalah bukan mahrim, mereka terus ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka, 1991, kerana bersekediaman dengan bukan mahrim.

"Mereka kemudian dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan Jaim untuk siasatan lanjut," katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Rahimin berkata, siasatan mendapati dua wanita itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan mendakwa berusia 22 tahun serta berasal dari Johor.

Katanya, ketika soal siasat dijalankan, wanita itu mendakwa terpaksa melacur atas arahan seorang tomboi yang juga bertindak memegang kad pengenalan mereka bagi mengelak mereka melarikan diri.

Bagaimanapun, pihaknya tidak menemui tomboi dimaksudkan di dalam hotel berkenaan ketika serbuan dilakukan.

"Seorang daripada wanita itu pula mendakwa dia dilacurkan tomboi berkenaan bersama beberapa lagi wanita lain di hotel itu.

"Lebih mengejutkan, dia mendakwa terpaksa melayan sekurang-kurangnya 11 pelanggan sehari.

"Pelanggan pula terdiri pelbagai warga tempatan termasuklah lelaki berketurunan kulit hitam dari Afrika.

"Wanita itu mendakwa lagi setiap pelanggan dikenakan bayaran sebanyak RM80 dan ia dibayar terus kepada tomboi itu," katanya.

Beliau berkata, mereka mendakwa dibawa ke hotel berkenaan oleh tomboi berkenaan selepas berkenalan dengan mereka sebelum ini.

Katanya, kedua-dua wanita itu dirujuk ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memastikan benar atau tidak mereka memiliki kad pengenalan dan seterusnya membuktikan warga tempatan.

"JPN berjaya mengesan nombor kad pengenalan seorang daripada wanita terbabit manakala seorang lagi gagal dikesan kerana tidak mengingati nombor kad pengenalannya.

"Kami merujuk kedua-dua wanita itu kepada polis berikutan mereka mendakwa kad pengenalan disimpan tomboi terbabit dan dipaksa menjadi pelacur," katanya.