Seminar kesihatan tipu pelanggan Oleh Siti Fatimah Hassansfhassan@hmetro.com.my
PETALING JAYA: Sebuah pusat perubatan swasta dikesan cuba mencari untung atas angin dengan menggunakan taktik menganjurkan seminar kesihatan sebagai cara memerangkap orang ramai membeli pakej pemeriksaan kesihatan bernilai hampir RM10,000.Pada mulanya mangsa hanya menerima panggilan telefon dari pusat terbabit untuk jemputan menghadiri seminar mengenai pemeriksaan imbasan kesihatan dan kemudian mereka 'dipujuk' menyertai pakej bernilai RM7,100 bagi tempoh lima tahun.Mangsa yang dikenali sebagai Wong, 40, berkata dia hanya bersetuju menghadiri seminar itu, namun terperangkap dan diminta membayar deposit RM450 dan bayaran bulanan RM138.50."Saya membayar deposit melalui kad kredit, tetapi menurut pusat perubatan itu, baki selebihnya mesti dibayar menggunakan kad kredit bank lain menyebabkan saya terpaksa mengisi beberapa borang persetujuan.
"Namun, dua bulan selepas itu, saya tidak mendapat apa-apa maklumat kerana langsung tidak dihubungi. Saya juga terkejut apabila bank menghantar faksimili salinan penyata kad kredit selama dua bulan selain menyedari pembayaran itu hanya untuk tiga bulan dan bukan empat bulan seperti dipersetujui dalam perjanjian," katanya.
Selepas menyedari dia ditipu, Wong cuba membatalkan pembayaran menerusi kad kredit itu, namun gagal. Ketika mendedahkan perkara itu, Eksekutif Aduan dan Penyiasatan, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Yesotha Balakrishnan (gambar) berkata, kegiatan pusat perubatan terbabit boleh dipertikaikan berikutan cubaan menjalankan perniagaan sampingan di luar premis mereka.Katanya, sesebuah pusat perubatan tidak sepatutnya menjalankan promosi pasaran kerana ia menyeleweng daripada fungsi sebenar mereka."Mereka menawarkan perkhidmatan imbasan yang tidak perlu termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) dan Mesin Imbasan Imejan Magnetik (MRI) sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mendapatkan untung mudah selain menyebabkan mangsa memohon kad kredit baru," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.Yesotha berkata, sehingga kini pihaknya belum dapat menyelesaikan kes itu berikutan Biro Pengantara Kewangan (FMB) tidak dapat membantu kerana penipuan itu tidak membabitkan institusi kewangan."Sebelum itu mangsa merujuk kepada Bank Negara yang mengatakan dia akan disenaraihitamkan. FMB juga tidak dapat membantu kerana di luar bidang kuasanya."Lazimnya, mereka yang terbabit dalam penipuan menawarkan pakej khidmat kesihatan ini mensasarkan golongan tertentu sebagai mangsa dan kami menasihatkan orang ramai berhati-hati terutama ketika ditawarkan menghadiri sebarang seminar tertentu," katanya.
Wednesday, October 29, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment